Wednesday, April 21, 2010

Falsafah dan Pengertian Ilmu

Ditulis oleh

Ridzuan Masri

Dalam pengertian moden, ilmu merupakan kefahaman manusia terhadap sesuatu perkara yang berlaku hasil daripada pengamatan dan pengkajian terhadap sesuatu maklumat yang diterjemahkan oleh akal untuk difahami dan diberi pengertian sebagai satu pengetahuan. Maklumat yang tidak diketahui atau tidak difahami bukanlah merupakan satu ilmu tetapi hanya menjadi maklumat sehinggalah akal telah dapat menterjemahkannya menjadi satu konteks yang boleh difahami dan diberi pengertian terhadap konteks tersebut sebagai satu ilmu.

Dipanjangkan dalam pengertian post-modenisma, Ilmu merupakan pengetahuan yang dapat digunakan dan dimanafaatkan oleh manusia untuk menjana kekayaan dan meneruskan kehidupan didunia ini. Manusia tanpa ilmu yang bermanafaat dan tidak mendatangkan keuntungan fizikal sekurang-kurangnya kepada diri sendiri, adalah manusia yang dianggap ketinggalan dan tidak produktif dalam sistem ekonomi. Ilmu merupakan satu nilai yang berpotensi sebagai satu sistem masyarakat yang boleh membezakan substrata sosial dan masyarakat dan menjadi intipati kepada kemajuan duniawi.

Di dalam Islam, ilmu itu adalah segala sesuatu yang difahami dan diberi pengertian dengan objektif untuk memahami kebesaran dan mengakui kebenaran dan keesaan Tuhan sekaligus mendekat diri kepadaNya. Ilmu dalam Islam adalah bersandarkan kepada petunjuk Wahyu dan sunnah Rasulullah. Justeru, Ilmu dalam Islam adalah ilmu bukan sahaja bertujuan untuk mencapai kesejahteraan dunia, tetapi merupakan jambatan menuju kepada akhirat.

Perbuatan bermoral serta pembentukan akhlak yang baik adalah menjadi sesuatu yang mustahil tanpa ilmu. Fakulti ilmu di dalam diri manusia adalah akal yang menbentuk daya intelek, iaitu kebolehan untuk berfikir, mentafsir dan memberi pertimbangan terhadap pentafsiran tersebut berdasarkan apa yang difahami seterusnya bertindak melalui pertimbangan tersebut. Oleh yang demikian, kandungan, sumber dan keadaan ilmu tersebut perlu difahami secara terperinci untuk membolehkan pentafsiran yang baik dapat dilakukan, seterusnya menghasilkan tindakan yang jitu, bermoral dan beretika.

Daya intelek hadir di dalam fakulti rasional manusia, yang membezakan manusia dari haiwan, dan menjadi sumber kepada ilmu, sedangkan haiwan tidak mampu dan tidak menpunyai fakulti rasional. Daya intelek terdapat pada semua manusia, walapun terdapat perbezaan dari aspek kekuatan dan kedalaman daya intelek tersebut. Justeru, daya intelek merupakan pembangunan ilmu yang dihasilkan dari pengalaman dan tafsiran ke dalam diri manusia.

Ilmu terbahagi kepada dua aspek iaitu ilmu yang formal dan ilmu yang terhasil dari pengalaman hidup (existential). Ilmu formal ialah ilmu tentang sesuatu atau beberapa melalui pengalaman dan tafsiran yang kemudiannya diberikan apresiasi. Walaupun ilmu bermula dari pengalaman, namun ianya lebih dari pengalaman itu sendiri. Ilmu tersebut menggunakan logik akal untuk mentafsirkannya. Ia merupakan ilmu berpaksikan kepada penyaksian diri.

Manakala ilmu yang terhasil dari pegalaman hidup (existential) adalah ilmu berkenaan sesuatu atau beberapa objek atau perkara, mengandungi ilmu yang berlawanan sifatnya dari bentuk ilmu yang biasa. Ilmu ini terbahagi kepada dua iaitu pertama; ilmu berkenaan fenomena dan kedua; ilmu kerohanian (spiritual). Ilmu yang pertama terbentuk secara perlahan-lahan selari dengan perkembangan daya intelek manusia sejak di alam kanak-kanak melalui pengalaman hidup yang terkumpul dan terhmpun. Manakala ilmu kedua terbentuk hasil dari pembelajaran yang berterusan dan digunakan apabila diperlukan.

Ilmu spiritual (kerohanian) meupakan ilmu yang mempunyai kedudukan paling tinggi dalam status hiraki ilmu. Seseorang yang memperolehi ilmu ini, akan memgetahui tentang kepentingan realiti spiritual (cth: realiti ketuhanan, realiti kehidupan, realiti roh dsb). Ilmu ini hadir dalam diri manusia secara berbeza antara satu sama lain. Kehadirannya melalui pelbagai cara samada melalui amalan dan perbuatan yang baik, melalui penghisapan diri (mujahadah) atau terus daripada Tuhan.

Ilmu berperanan dalam dua aspek iaitu pertama, memberi pemahaman terhadap sesuatu dan menjelaskan kepentingannya dan kedua, berperanan memandu manusia menerajui kehidupannya di dunia ini. Justeru, daya intelek dan logik manusia adalah daripada dua aspek, teori dan pratikal.

Ilmu teori merupakan pemahaman terhadap fenomena dan realiti spiritual. Ia memandu manusia untuk memahami, menafsir dan membentuk konsep. Ia terbina daripada bentuk yang konkrit kepada bentuk yang abstrak, daripada sesuatu yang sangat khusus kepada sesuatu yang umum, daripada pecahan-pecahan kepada satu kesatuan.

Ilmu praktikal merupakan hasil dari ilmu teori. Ia menerima logik teori dan fungsi aktifnya terdapat dalam perbuatan manusia. Sesuatu tindakan daripada seseorang yang alim dan terpuji atau yang mempunyai semangat patriotik adalah dipandu oleh logik yang praktikal tetapi keseluruhan kehidupan seseorang yang alim dan terpuji tersebut adalah dipandu oleh teori logik yang mempengaruhi praktikal logik dalam setiap perbuatan seseorang individu tersebut.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

 

Universal Scholars Life and Thought Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template