Monday, September 28, 2009

Gelaran PhD Palsu - Penipuan Yang Mendengkelkan.


Ditulis oleh : Ridzuan Masri


Baru-baru ini, di dalam sebuah akhbar tempatan (lihat Utusan 28 September 2009), isu berkenaan menggunakan gelaran sosial melalui ijazah PhD timbul kembali. Isu ini dibangkitkan oleh Y.B Datuk Seri Utama Dr. Mohd Rais Yatim selaku Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan terhadap Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Y.B Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin. Walau bagaimanapun, isu ini dinafikan oleh Khaled Nordin yang mengatakan bahawa semua IPTA dan IPTS tidak terlibat dalam mengeluarkan ijazah PhD Express atau PhD palsu, sementara tenaga pengajar di IPTA dan IPTS juga bersih dari skandal yang memalukan industri dan sistem pendidikan negara yang kini terkenal di seantero dunia ini.

Isu ini juga mendapat komen yang meluas dari akademia dan ahli korporat, dan kesemuanya mengatakan, PhD Express atau palsu menjejaskan imej negara dan kredibiliti akademik tempatan di mata dunia.

Sebagai pendidik, penulis juga ingin mengambil kesempatan mengemukakan komentari berkenaan isu ini, tetapi dari perspektif yang berbeza, iaitu penghuraian maksud PhD Express dan palsu serta pengalaman sendiri dalam kes-kes sebegini. Penulis rasa, ramai yang tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan PhD Express dan PhD palsu terutamanya mereka yang bukan dikalangan akademia.

Perlu difahami bahawa di dunia tanpa sempadan ini, terdapat pelbagai-bagai institusi pengajian tinggi yang wujud. Institusi-institusi ini terdiri dari pelbagai bentuk yang boleh dikelasifikasikan sebagai berikut :-


a.) Institusi fizikal dan tradisional - Institusi yang ditubuhkan lengkap dengan prasarana dan infrastruktur, kemudahan pembelajaran dan pengajaran dan juga para pensyarah yang dibayar gaji tetap atau sambilan. Pelajar-pelajar juga perlu menghadiri kuliah secara fizikal dan dinilai berdasarkan kredibiliti mereka dalam akademik. Dalam konteks Malaysia, universiti ini seperti UM, UKM, UIA, UUM, UCSI, MMU, SUNWAY, KLMU dan sebagainya yang secara fizikalnya wujud sebagai satu entiti yang sah dari segi perundangan dan AKTA.

b.) Institusi Jarak-Jauh - Institusi yang secara umumnya mempunyai kemudahan fizikal tetapi dalam kapasiti yang lebih kecil, berbeza dengan institusi fizikal. Pembelajaran juga diadakan secara maya (on-line), tetapi pelajar masih perlu atau wajib menghadiri tutorial dari masa ke semasa tetapi dalam jumlah yang terhad bagi memenuhi keperluan kredit untuk bergraduat. Kebanyakkan sumber rujukan teks atau perpustakaan adalah dari sumber-sumber digital atau dipanggil perpustakaan maya. Walau bagaimanapun, perpustakaan secara fizikal masih wujud tetapi sumber teks fizikal adalah terhad. Penubuhan institusi ini dalam konteks Malaysia adalah sah dari segi perundangan. Dalam konteks Malaysia, konsep universiti terbuka atau 'open universiti' adalah contoh institusi jarak jauh yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.


c.) Institusi On-Line - Institusi ini secara umumnya hanya beroperasi secara maya, tidak mempunyai kampus tetap dan hanya wujud di Internet. Kebiasaannya, kewujudannya amat meragukan dan dalam banyak-banyak kes, universiti ini adalah universiti yang menipu mangsa dengan menjual sijil atau kelulusan palsu. Universiti ini tidak diiktiraf langsung oleh kerajaan Malaysia dan kebanyakkan kerajaan di dunia. Sijil-sijil yang dikeluarkan oleh universiti tipu ini yang banyak menjadi inspirasi kepeda pebeli-pembeli sijil yang gilakan gelaran sosial. Contoh universiti maya ini ialah seperti Irish International University, Cambridgeshire University, Phoenix Universty, Capella University, University of Lamberhurst University of Metaphysical Sciences, University of Metaphysical Studies, New Mexico, University of Metaphysics, Studio City, California, and Sedona, Arizona. University of the Nations, University of Natural Health (Brandon, Mississippi), University of North America, University of Northern Washington,
University of NorthWest, University of Santa Monica, dan pelbagai lagi universiti on-line di seluruh dunia. Apa yang diperlkan oleh universiti ini bagi mendapatkan sijik mereka ialah, pelajar perlu membayar sedikit amaun sebagai yuran, dan menghantar assignment dengan format-format tertentu tanpa perlu membuat presentasi. Pelajar juga tidak perlu menduduki peperiksaan.


Walau bagaimanapun, gelaran PhD juga boleh didapati secara on-line dengan universiti yang disahkan kewujudan dan kesahihannya serta kewujudan universiti tersebut sah di sisi undang-undang. Walau bagaimanapun, cuma metode pembelajaran maya sahaja digunakan, dan pelajar dikehendaki berjumpa dengan profesor mereka samada cuma beberapa kali sahaja dalam tempoh pengajian mereka. Agak mudah untuk mendapatkan PhD ini iaitu dengan mengemukakan thesis atau disertasi serta membayar yuran yang sepatutnya. Inilah yang dikatakan ijazah PhD Express, bukan ijazah PhD palsu seperti di atas.

Dalam konteks Malaysia, tidak ada satupun univesiti diseluruh dunia yang menawarkan mode pembelajaran maya ini diiktiraf oleh kerajaan Malaysia bagi maksud perlantikan awam. Tetapi di IPTS, perkara ini masih berlaku di mana pensyarah-pensyarah mereka mengambil jalan mudah mengambil PhD secara maya tanpa mempedulikan status pengiktirafan sijil. Apa yang penting bagi para pensyarah ini ialah, universiti yang menawarkan program maya tersebut memang wujud secara fizikal dan sah. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pihak berkuasa pengajian tinggi Malaysia dan juga IPTS.

Kesukaran menentukan mode pembelajaran pelajar adalah menjadi pokok utama kepada isu tersebut.Ini adalah kerana, ijazah palsu memang mudah dikesan, tetapi sebaliknya ijazah express memang sukar dikesan kerana universiti tersebut memang benar-benar wujud.

Sepanjang pengalaman, pengamatan, dan keterlibatan penulis dalam industri ini selama lebih kurang 10 tahun di pelbagai institusi bertaraf kolej, kolej universiti, hatta hingga ke universiti berstatus penuh, apa yang diucapkan oleh Rais Yatim memang benar dan apa yang dinafikan oleh Khaled Nordin, adalah tidak tepat. Khaled Nordin mungkin tidak mendapat maklumat secukupnya bagi membantu beliau menafikan isu ini. Memang benar bahawa IPTA dan IPTS tidak mengeluarkan ijazah PhD Express atau PhD palsu, dan memang benar di IPTA tidak terdapat pensyarah yang miliki PhD Express atau palsu, tetapi di IPTS, fenomena pensyarah memiliki PhD Express atau palsu merupakan satu isu yang telah lapuk, tidak pernah selesai dan masih atau mungkin semakin berleluasa. Penulis pernah mempunyai pengalaman selama lebih kurang 8 tahun dalam mengendalikan dokumen kelulusan dan akreditasi MQA, dan selama itulah penulis telah mengkaji, menyemak, merekod serta membuat penyelidikan latar belakang pensyarah-pensyarah untuk dikemukakan kepada pihak LAN/MQA terutamanya dalam dokumen 2 LAN-TC-01 dan TC-02 untuk kelulusan dan pengakreditasian/standard minimum sesuatu kursus pengajian di peringkat Sarjana Muda dan Pasca Ijazah. Sepanjang pengalaman tersebut, banyak rekod menunjukkan universiti atau kelulusan yang meragukan membanjiri institusi pengajian tinggi kita di Malaysia ini. Masalah ini memang sukar hendak diselesaikan selagi mekanisme untuk mengesan mode pembelajaran atau kesahihan kewujudan institusi tidak diambil secara serius oleh IPTS sendiri.


-end-

2 comments:

gm0t comot on October 2, 2009 9:15 PM said...

encik..contohnya fazley ke??encik penah mention dlm klas....

Ridzuan Masri on October 3, 2009 9:45 AM said...

Case study untuk diperbincangkan.. Bukan saya jer yang cakap, satu Malaysia dah tahu...

Post a Comment

My Blog List

 

Universal Scholars Life and Thought Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template