Saturday, March 14, 2009

Perbezaan Pelajar di Universiti Swasta dan Universiti Awam

Ditulis Oleh : Ridzuan Masri

Telah banyak penulis lihat dan perhatikan. Perbezaan pelajar diantara IPTS dan IPTA di Malaysia ini sungguh ketara. Perbezaannya amat banyak. Tanggapan umum terhadap IPTS sebagai 'Second Class University' tidak lagi tepat, malah penulis boleh katakan terdapat sesetengah IPTS mengambilalih tanggapan umum terhadap IPTA. Dalam ertikata lain, IPTS kini boleh dilihat sebagai 'first class' atau sekurang-kurangnya setaraf dengan IPTS. Penulis boleh katakan kini, tahap kualiti pelajar-pelajar IPTA dan IPTS kini adalah dalam situasi 'win-win' atau 'menang-menang'. Kelemahan pelajar-pelajar IPTS ditampung oleh pelajar IPTA , dan begitu juga sebaliknya. Kedua-dua kelemahan ini dapat dilihat perbezaannya dengan ketara.

Walaupun dapat dilihat IPTA mempunyai kemudahan prasarana dan aktiviti akademik yang 'first class' yang mungkin tidak dapat ditandingi oleh IPTS seperti kemudahan padang, stadium, makmal penyelidikan, asrama, pengangkutan pelajar, guru-guru berkelulusan PhD yang ramai, Persatuan-Persatuan pelajar yang aktif dan sebagainya, namun memang tidak dapat dinafikan bahawa dari segi kualiti pelajar itu sendiri, IPTS memang berada di hadapan IPTA dalam beberapa aspek. Pandangan ini berdasarkan kepada pengalaman penulis selama lebih kurang 14 tahun sebagai pelajar di IPTA dan guru di IPTS.

Kualiti pelajar IPTS yang dapat dilihat perbezaan mereka dengan kualiti pelajar IPTA adalah dalam pelbagai perspektif seperti berikut :-

a.) Kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris;
Perbezaan pertama dan terpenting yang dapat dilihat dan diperhatikan ialah kebolehan menguasai Bahasa Inggeris dengan berkesan, bukan sahaja dalam aspek akademik,malahan dalam aspek komunikasi di luar bilik darjah. Dalam konteks Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia, kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris cenderung kepada perspektif berdasarkan perkauman. Sebagai contoh, golongan Cina dan India banyak berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris, walaupun berkomunikasi dengan sesama mereka, atau dengan kaum yang lain. Manakala golongan pelajar melayu dan lain-lain bumiputera, banyak mengunakan bahasa melayu walaupun ketika berinteraksi dengan rakan-rakan mereka yang bukan melayu. Penulis perhatikan budaya ini ketika saya bekerja dengan beberapa buah IPTS selama 8 tahun berkhidmat.



Gambar : Penguasaan bahasa Inggeris telah menjadi amat penting di Malaysia sehinggakan latihan pembangunan korporat dalam kontek bahasa hanya bertumpu kepada penguasaan bahasa Inggeris. Tidak pernah penulis terdengar latihan pembangunan korporat untuk penguasaan bahasa Malaysia.

Bukan penulis hendak memperlekehkan penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa ibunda, tapi hakikat menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa perdagangan antarabangsa memang tidak dapat dielakkan. Dalam pada masa yang sama, menguasai bahasa ibunda sangat penting bagi memelihara jatidiri dan maruah bangsa Malaysia.

Di IPTS, pelajar-pelajar cemerlang, sederhana atau tidak cemerlang, membudayakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi akademik, selain rasa tanggungjawab terhadap kemajuan diri menguasai bahasa antarabangsa ini. Sebaliknya di IPTA, kecuali di Institusi bertaraf antarabangsa, hanya pelajar-pelajar cemerlang yang bersusah-payah mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris. Itupun secara sembunyi-sembunyi kerana takut dianggap 'berlagak'. Inilah hakikat yang sebenarnya melanda graduan-graduan IPTA, bukan sahaja golongan melayu, tapi menjangkit kepada golongan India dan Cina.

Penulis pernah mempunyai seorang kawan berbangsa India yang pernah menuntut di sebuah IPTA tersohor di ibukota. Beliau menceritakan, ketika mula-mula diterima sebagai pensyarah di IPTS, beliau telah terpaksa berhempas-pulas menguasai bahasa Inggeris selama beberapa bulan selepas diterima bekerja di IPTS terbabit sebagai pensyarah. Ini adalah kerana ketika menjadi pelajar di IPTA, pendedahan beliau kepada bahasa Inggeris amat sedikit. Katanya, sebagai seorang yang berbangsa India, beliau malu tidak fasih berbangsa Inggeris seperti kawan-kawannya. Terdapat pula kawan penulis yang berbangsa cina yang belajar di IPTA. Beliau sehingga sekarang tidak fasih menggunakan bahasa Inggeris, malah bahasa Inggeris yang digunakan sangat 'berterabur' tatabahasanya. Beliau juga mengaku merasa malu apabila rakan-rakan sekerja sebangsa dan berlainan bangsa berbual menggunakan bahasa Inggeris di pejabat sehingga menjadikan dirinya pendiam apabila bermesyuarat. Dengan pengalaman bekerja selepas beberapa tahun, kini beliau telah dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris ke tahap yang lebih baik.

Masalah ini bukan masalah pelajar melayu sahaja, tetapi masalah ini juga menjadi masalah kaum bukan melayu. Tidak dapat tidak, IPTS kini dipenuhi oleh pelajar-pelajar bukan melayu kerana orientasinya 90% keatas adalah aliran bahasa Inggeris, satu hakikat yang pahit untuk ditelan oleh kita, samada masyarakat akademik atau bukan, samada bangsa melayu, ataupun bukan... Bukannya sebab IPTS itu adalah untuk anak-anak orang kaya sahaja, malah anak-anak penjual kue teow, sami buddha, penanam sayur, pemandu teksi, hatta anak pesara kerajaan yang bukan berbangsa melayu, terdapat di IPTS. Semuanya kerana untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris. Inilah hakikat... Menguasai bahasa Inggeris dengan baik adalah tiket kepada kerjaya yang baik di kebanyakkan organisasi samada bersaiz sederhana atau besar. Organisasi bersaiz kecil, penulis tak berapa pasti.

Masalah di IPTS bumiputera pula... Apa yang penulis dapat perhatikan, terdapat ramai pelajar-pelajar memang lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris kerana beberapa faktor. Ini adalah kerana ruang lingkup budaya dan pergaulan pelajar cenderung kepada kaum yang sama. Tapi penulis agak terkejut, pelajar-pelajar di IPTS bumiputera ini (kebanyakkannya pelajar bumiputera di IPTS terdiri dari kaum melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak) sangat mementingkan latih tubi diri sendiri untuk menguasai bahasa Inggeris komunikasi kerana dorongan diri sendiri dan ibubapa serta cabaran dari IPTS-IPTS bukan bumiputera, termasuk cabaran sektor-sektor korporat yang mementingkan kualiti berkomunikasi dalam bahasa tersebut, memandangkan kebanyakkan kursus-kursus di IPTS banyak yang tidak layak untuk memasuki sektor awam (tiada akreditasi).

b.) Tahap keyakinan diri dalam presentasi akademik ;
Dalam sesi presentasi, kebanyakkan pelajar terutama yang menuntut di IPTA akan petah berbicara dan berbahas mengenai sesuatu isu atau idea apabila melakukannya dalam bahasa ibunda tercinta, Bahasa Malaysia. Sebaliknya,apabila diminta melakukan presentasi dalam bahasa Inggeris, pelajar menjadi kaku, lidah menjadi kelu, otak menjadi beku, malahan buku rujukan menjadi 'coo-coo'. Pernah penulis mendengar, ada pelajar yang terus pengsan kerana gugup untuk membuat presentasi dalam bahasa Inggeris. Kejadian ini berlaku di sebuah IPTA di negeri Selangor.

Tetapi sebenarnya, ianya tidak tehad di IPTA semata-mata, tetapi di IPTS juga terutama kepada pelajar-pelajar bumiputera yang datang dari luar bandar. Cuma di IPTA, tahapnya agak teruk sebab orientasi matapelajarannya kebanyakkan dibuat dalam bahasa ibunda.

Tidak terkecuali juga kepada pelajar-pelajar Cina atau India dari luar bandar yang belajar di IPTS bumiputera. Tetapi walau bagaimanapun, ramai juga terdapat-pelajar-pelajar di IPTS bumiputera yang bagus penguasaan bahasa Inggerisnya, cuma hanya dapat dikenalpasti apabila tiba waktu presentasi.

Di IPTS bukan bumiputera pula, bukan tidak ada pelajar-pelajar Cina atau India yang mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, malahan ramai juga. Tapi walaupun bahasa Inggeris yang digunakan agak pelik bunyinya, dan kadang-kadang memeningkan dan memecahkan perut, tapi penulis puji sebab mereka ini akan cuba dan cuba dan cuba dan cuba... penulis pasti dengan keadaan yang sebegini. Akhirnya mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik selepas diakhir pengajian mereka.

Di IPTS bumiputera pula, pelajar-pelajar bumiputera atau yang bukan bumiputera yang lemah dalam bahasa Inggeris, kebanyakkannya membuat presentasi dalam bahasa rojak... Kejap bahasa Inggeris, kejap Malaysia. Memang macam rojak... Tetapi sekurang-kurangnya mereka cuba juga.

Ohhh.... sebelum penulis pergi jauh, penulis ingin tegaskan disini. Perbandingan ini dilakukan untuk kurus-kursus 'undergraduate' sahaja seperti diperingkat sijil, diploma dan ijazah. Untuk peringkat pasca ijazah, keadaannya penulis pasti 95% berbeza.

c.) Tahap hubungan pelajar dengan Pensyarah yang lebih baik;
Sebabnya mudah sahaja. Di IPTS, jumlah pelajar sedikit dibandingkan dengan jumlah pelajar di IPTA. Lagipun di IPTS, pelajar adalah 'King & Queen'. Di IPTA, pensyarah ialah 'King & Queen'. Jadinya, hubungan pensyarah IPTS dengan pelajar-pelajarnya lebih baik berbanding dengan hubungan pelajar-pelajar dengan pensyarah di IPTA.

d.) Tahap kreativiti Pelajar yang lebih fleksible dalam menyampaikan idea;
e.) Tahap penglibatan pelajar dalam bilik kuliah yang lebih proaktif;
f.) Tahap pemikian kritikal pelajar dalam menghurai isu akademik;
g.) Tahap kerjasama antara sesama pelajar yang tinggi (teamwork);

Penulis belum mempunyai kesempatan untuk menghurai setiap perkara di atas. Tapi penulis akan melakukannya bila ada masa terluang. Mungkin pendapat penulis mempunyai percanggahan dari kacamata mereka yang berada di IPTA. Tapi inilah hakikat yang telah penulis alami, perhati, dan selidiki. Mungkin anda ada komen lain.

Sekian.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

 

Universal Scholars Life and Thought Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template