Saturday, February 28, 2009

Sekularisma Dalam Sains Barat : Pendekatan Islam Dalam Menolak Fahaman Positivism Barat

Ditulis oleh
Ridzuan Masri, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Malaysia

Pengenalan
Sekularisma dalam ertikata yang difahami adalah pemisahan kehidupan dengan ikatan keagamaan. Konteks pemisahan ini berlaku dalam beberapa peringkat iaitu peringkat individu dan peringkat masyarakat atau institusi. Peringkat individu ialah memisahkan kehidupan diri seseorang itu dengan amalan agama. Maka sesuatu yang dilakukan adalah berbeza dan tidak berkaitan dengan konteks ketuhanan atau keagamaan. Begitu juga dengan peringkat sosial atau institusi, pemisahan kehidupan daripada agama berlaku dalam konteks yang lebih luas iaitu dari segi ilmu, muammalah, budaya, tradisi, cara hidup, tingkahlaku dan pemikiran. Bagi masyarakat sekular, kehidupan keagamaan mereka hanya terhad ketika berada di institusi-institusi kegamaan seperti di masjid-masjid atau di gereja-gereja, manakala di luar kehidupan keagamaan tersebut, terdapat pelbagai aliran sekularisma seperti positivisma, liberalisma, utilitarianisma, kapitalisma, scientisma, naturalisma dan pelbagai lagi yang menjurus kepada sistem kehidupan barat, telah mempengaruhi hidup masyarakat sekular secara kronik.

Dalam konteks tradisi barat, sekularisma bermula pada zaman pertengahan di mana falsafah ini dibangunkan sebagai satu kualiti terhadap pembinaan semula kehidupan dan pembelajaran pada abad ke 16 dan ke 17, dan kemudian dibawa kepada abad ke 18 dan 19, seterusnya ke-abad ke 20 (Zaman Pencerahan – Sejarah Pemodenan Gereja). Menurut Roman Catholic, sekularisma membawa maksud "transfer of person and things from the sacral sphere to the temporal" yang membawa maksud kehidupan di dunia yang bersifat sementara.

Gambar : Mustafa Kamal Attartuk (1881-1938) dianggap oleh Barat sebagai Bapa Pemodenan Turki. Beliau juga bertanggungjawab terhadap kehancuran empayar dan kerajaan khalifah Islam terakhir, Khalifah Uthmaniah (1299 - 1923).

Pada zaman Renaissance, sekularisma mempamerkan peranannya terhadap pembangunan kemanusiaan, apabila masyarakat pada ketika itu mula menunjukkan minat terhadap pencapaian ketamadunan dan kebudayaan serta kemungkinan-kemungkinan terhadap sumbangannya kepada dunia. Pergerakkan terhadap penyebaran fahaman sekular ini kemudiannya berkembang pesat semasa perkembangan sejarah moden dan kerapkali sekularisma ini dilihat sebagai anti-keagamaan atau anti-kristianiti. Ianya berlaku disebabkan oleh peranan pemerintah pada ketika itu yang menghadkan kuasa gereja dari memiliki kuasa autonomi terhadap pembinaan tamadun masyarakat dan tradisi keilmuan barat. Pada ketika itu, peranan gereja telah dianggap hanya menyempitkan pandangan, tindakan dan kemajuan yang boleh melemahkan usaha-usaha pemodenan dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang sains.

Dengan memahami sejarah perkembangan fahaman sekularisma, maka dengan mudah kita dapat mengintepretasikan Sekularisma dalam Sains moden.

Dalam konteks Sains Moden, amalan sekularisasi sains ini dapat dilihat melalui sejarah apabila ahli-ahli falsafah pada abad ke 18 menolak Zaman Pertengahan sebagai sesuatu yang mistik dan karut dan pada masa yang sama telah mengintepretasikan sejarah dalam bentuk dokumentari dan metodologi saintifik. Seterusnya diikuti pada abad ke-19 dimana ahli-ahli sejarah ketika itu mula menyedari mengenai kepentingan sains dan teknologi dalam pembentukan nilai dalam konteks sistem sosial dan perubahan budaya. Selepas revolusi industri berlaku yang telah menyaksikan kepelbagaian sektor industri diwujudkan, ahli-ahli sejarah mula mengembangkan skop sekularisasi ke dalam bidang-bidang yang menjurus kepada pencapaian manusia seperti dalam bidang ekonomi, sosial, politik, keintelektualan dan saintifik.

Walau bagaimanapun, apa yang berlaku ialah kesilapan ahli-ahli sejarah tersebut itu sendiri yang memberi gambaran yang salah terhadap revolusi saintifik dengan membelakangkan faktor-faktor sejarah, sebaliknya hanya mengemukakan kejayaan-kejayaan para saintis secara kronologi menyebabkan punca utama kepada perluasan sekularisasi sains sehingga mewujudkan pelbagai fahaman dan falsafah yang sempit dan sentiasa bertukar-tukar mengikut zaman dan hasil penyelidikan walaupun mereka sendiri mengetahui telah terdapat kesilapan dan kekeliruan dalam teori dan falsafah tersebut.






Gambar : Masalah pergaulan bebas di Barat malahan di seluruh dunia termasuk Malaysia adalah menifestasi kehidupan sekular sebagai cara hidup individu mahupun institusi sosial.


Lebih memburukkan keadaan, bukan sahaja ahli-ahli sejarah terlibat dalam penulisan Sejarah Sains, tetapi ahli-ahli falsafah dan saintis juga terlibat dalam penulisan Sejarah Sains menyebabkan metodologi historikal dalam menulis sejarah dan falsafah sains menjadi begitu janggal, bercelaru dan jauh dari kebenaran.

Positivism sebagai Aliran Sekular Sains Moden.

Salah satu aliran sains sekular yang bertapak kukuh dalam Tradisi Sains Barat ialah aliran positivism yang bermula apabila ahli-ahli sains sebagai contoh Isaac Newton (1643-1727), Galileo Galilei (1552 -1664), dan Rene-Descartes (1596-1650) yang boleh dianggap sebagai pengasas-pengasas aliran positivism, mengasingkan ciri-ciri metafizika daripada sains dan merungkai sains melalui metodologi yang spesifik yang telah menjadikan sains sesuatu yang objektif dan boleh dipercayai hanya dengan logik akal semata-mata. Selain daripada itu, melalui teori mekanikal, alam tabii dianggap sebagai sebuah mesin, dan kualiti (kebenaran sesuatu yang berciri fizikal) yang dicari oleh manusia itu sebenarnya merupakan satu tanggapan semata-mata. Dalam falsafah mekanikal, alam tabii itu diukur melalui formulasi matematika untuk memperolehi data-data saintifik dan juga melalui penyelidikan. Daripada falsafah mekanikal tersebut, ia telah menjadi tapak asas yang sangat kukuh dalam tradisi keilmuan sains barat sehingga kini.

Telah difahami secara umum bahawa barat mengukur alam tabii, bahkan alam semesta melalui kiraan dan formula matematik serta penyelidikan semata-mata, dan hasilnya dijadikan fakta dan bahan rujuk ilmiah yang wajib kepada pelajar-pelajar tradisi keilmuan barat. Bagi positivism lagi, teori yang tidak dapat dihujah dengan bukti-bukti saintifik dianggap terbatal. Manakala akal manusia adalah sesuatu yang pasif. Disebabkan sifat akal yang pasif, justeru menurut positivism, alam tabii lah yang membentuk akal dan kecerdikan manusia tersebut.

Aliran positivism ini berkembang berasaskan kepada kaedah yang dimulakan oleh saintis-saintist terawal tadi, sehingga ianya menjadi pergerakkan falsafah yang semakin mantap dan tajam pada lewat 1920 apabila Viennese Positivists (kumpulan positivist Vienna dan Berlin yang terdiri terutamanya dari golongan saintis yang berminat dalam bidang falsafah, atau telah dilatih secara saintifik, dan ahli falsafah sendiri) menerbitkan risalah yang dipanggil "Wissenschaftliche Weltauffassung: Der Wiener Kreis (1929; “Scientific Conception of the World: The Vienna Circle”), di mana ianya merupakan titik kepada bermulanya pengisytiharan pembebasan falsafah daripada falsafah aliran tradisional, dan dalam pemikiran penulis-penulisnya (Carnap, Hahn, dan Neurath, dibantu oleh Waismann dan Feigl), ianya adalah "falsafah untuk mengakhiri semua falsafah".

Asas Pemikiran Positivism

Aliran Sains Positivism mendapat jolokan sebagai "logical Poistivism" selepas Persidangan Vienna (Vienna Circle), lalu menjadikan mereka lebih angkuh. Asas idea yang menjadi pegangan Positivism secara umumnya ialah : the genuine task of philosophy is to clarify the meanings of basic concepts and assertions (especially those of science)—and not to attempt to answer unanswerable questions such as those regarding the nature of ultimate reality or of the Absolute (terjemahan - Tugas falsafah yang sebenar ialah untuk menjelaskan maksud terhadap konsep asas dan penerangannya (terutamanya dalam bidang sains) - dan tidak melayan persoalan yang memerlukan jawapan yang tidak dapat dijawab sebagai contoh persoalan mengenai alam tabii atau kepada Yang Agung (Tuhan).

Ia adalah satu aliran yang mengikut kaedah rasionalist yang menggunakan logik akal semata-mata. Walaupun bukan sepenuhnya rasional, tapi sedikit sebanyak ia telah mencipta formula berdasarkan rasional alam tabii kerana kecerdikan akal bagi positivism dibentuk oleh alam tabii.

Gambar : Ujian teknologi nuklear yang bakal membawa kepada kemusanahan akibat peperangan nuklear adalah hasil dari produk saintist fahaman sekular yang memisahkan ilmu ketuhanan atau metafizik dengan ilmu dan amalan sains.

Puak Logical Positivist ini memandang metafizik sebagai tidak mempunyai harapan serta tidak berguna, berbeza dengan apa yang cuba disampaikan melalui kaedah-kaedah literasi yang diketahui telah amat berkesan dan sangat berjaya dalam menggarap dan menghurai metafizik. Aktiviti penolakan metafizik di dalam logical positivism ini merupakan ekspresi visi yang dicampur dengan perasaan dan emosi dan akan sentiasa menjadi sesuatu yang sah selagi tidak mengaitkan sesuatu dengan metafizik iaitu pemikiran yang sebenar atau representasi yang realiti.

Walau bagaimanapun, apa yang positif mengenai Logical Positivism ini, dalam hal yang lain ialah, berjaya mengemukakan kaedah-kaedah logik dan methodologi terhadap andaian asas dan cara-cara serta prosedur validasi terhadap ilmu dan proses penilaiannya. Walau bagaimanapun, ia cuma dalam bentuk yang fizikal semata-mata dan tidak ada nilai dari segi spiritual.


Pendangan Islam Terhadap Sekularisasi Science dan Aliran Positivism

Islam dengan jelas menolak kaedah sekular dalam semua perkara dalam kehidupan. Ini termasuk dalam konteks ilmu sains samada sains sosial, sains fizikal, sains biologi, sains kimia dan sains politik. Perlu ditegaskan, kesemua ilmu tersebut sebenarnya tidak menjadi sekular melainkan setelah kehilangan jalinan dan talian keagamaan dan kesatuan yang digariskan oleh wahyu. Walau bagaimanapun, Islam tidak pula menolak ilmu-ilmu moden tersebut, malahan dituntut untuk mempelajarinya, malahan menegah umatnya menjadi seorang yang berfikiran sempit (jumud). Tetapi cara berfikir dan semangat moden yang diwarisi dari barat serta membelakangkan peranan iman dalam ilmu pengetahuan, itulah yang dilarang oleh Islam. Seseorang yang telah membebaskan akal daripada kawalan wahyu dan agama dengan kepercayaan bahawa dengan kemerdekaan akal tersebut akan membawa kepada kemajuan ilmu tanpa batasan, sebenarnya meletakkan dirinya dalam keadaan yang tidak seimbang dan bahaya.

Dalam keadaan yang tidak seimbang, segala sesuatu benda itu berada dalam keadaan bahaya. Begitu juga manusia, ketidakseimbangan ilmu akan menyebabkan spiritualnya berada dalam kedudukan yang bahaya. Sekiranya masyarakat yang spiritualnya dalam kedudukan yang goyah dan bahaya, ia akan membahayakan tamadun yang dibina oleh masyarakat tersebut yang telah rosak ilmu dan imannya. Ini dapat dilihat pada masa sekarang pun, ketidakseimbangan dalam ilmu telah mewujudkan masyarakat yang tidak seimbang emosi dan spiritualnya.

Ketidakseimbangan dalam ilmu juga telah menyebabkan masyarakat yang mendokong ilmu tersebut menjadi gawat, penuh dengan pemasalahan sosial, memiliki sifat ketamakan yang berleluasa, mendominasi, malah dalam beberapa peristiwa, telah mencetuskan susasana yang penuh penindasan, kezaliman dan sebagainya seperti peperangan yang membunuh mereka yang tidak berdaya, industri yang merosakkan, perlumbaan senjata, dan pelbagai lagi kerosakkan akibat ilmu tanpa tauhid, semata-mata memenuhi tuntutan hawa nafsu.

Dalam konteks falsafah ilmu, secara jelas Islam menolak semangat, idea, dan cara berfikir golongan positivist yang membelakangkan terus ilmu wahyu. Tetapi saya juga ingin menegaskan disini, Islam tidak menolak positivist secara total kerana didalamnya terdapat metodologi yang boleh digunakan oleh Islam seperti metodologi mekanik dan matematik untuk mendapatkan sesuatu maklumat dan data secara saintifik. Hanya idea, gagasan dan cara berfikir positivism yang membelakangkan wahyu sahaja yang ditolak.

Pendekatan Sains Dalam Islam
Sains yang dikembangkan oleh Islam sebenarnya bukanlah menjadi cabaran kepada orang Islam sendiri sebagaimana yang telah berlaku kepada sains moden yang terpaksa mencabar antara satu sama lain untuk membuktikan siapa yang lebih benar dan lebih tepat, sebagai manifestasi kepada kekeliruan dalam historiographi dan sejarah sains moden, termasuk kekeliruan terhadap metodologi yang digunakan oleh para saintis, sejarawan dan ahli falsafah barat yang telah memutuskan kaedah ontologi.

Pelajar-pelajar pada zaman Khayam (algebra) dan Jabir Ibn Hayan (al-kimia) yang mempelajari pengajian secara tradisional di madrasah-madrasah tidak berhenti melaksanakan ibadah selepas habis kuliah dan keseluruhan pengajian mereka. Tetapi terdapat ramai juga pelajar-pelajar Islam pada hari ini, walaupun bukannya semua, selepas mempelajari ilmu sains moden seperti kimia, fizik dan biologi, terus meninggalkan ikatan keagamaan mereka. Ini disebabkan terdapatnya garis pemisah yang penting antara sains moden yang bersifat sekular dengan sains Islam yang berciri tradisional. Garis pemisah tersebut tak lain tak bukan ialah Ilmu Tauhid. Ilmu Islam menyambung ilmu sains kepada konsep Tauhid bagi mencapai kebenaran. Tetapi ilmu sains moden meninggalkan terus ilmu tawhid, sedangkan ilmu sains moden juga diceduk dari sisa-sisa sains Islam, dan telah diperkembangkan menjadi milik barat sepenuhnya.

Sejarah kehidupan Nabi Adam (a.s) sebaik sahaja dicipta oleh Allah ialah diajarkan segala nama-nama (al-Baqarah,31). Kesimpulan yang boleh diambil daripada ayat ini ialah sejarah tamadun manusia dibumi ini tidak bermula dengan kegelapan dan kejahilan, sebaliknya telah diasaskan atas landasan bimbingan ilmu dari langit iaitu ilmu tauhid. Ilmu tawhid adalah ilmu hujung-pangkal segala ilmu yang lain dan ilmu yang paling tinggi martabatnya dalam hairaki ilmu (maratib al-‘Ulum).

Islam menitikberatkan konsep ilmu yang berakar umbi dalam ajaran wahyu. Ilmu yang berasaskan ajaran wahyu inilah umpamanya di dalam al-Quran sebagai cahaya (nur) yang bukan sahaja menyinari sanubari pemiliknya, malah seluruh alam. Dalam konteks sains juga, tauhid adalah asas kepada ilmu tersebut. Dengan sains, manusia dapat mengenal dan menghampiri kebenaran terhadap penciptaan alam kosmos oleh Tuhan yang Maha Esa. Kemajuan yang dicipta hasil daripada pengetahuan sains adalah berobjektifkan untuk memupuk kesejahteraan ummah secara menyeluruh, dan bukannya untuk mendominasi atau merosakkan.

Imam Al-Ghazali mengkelasifikasikan ilmu untuk urusan keduniaan sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah, kerana tanpa ilmu duniawi, kehidupan manusia akan binasa. Ini termasuk mempelajari ilmu sains seperti kedoktoran, atau yang berkaitan dengan perusahaan. Walaubagaimanapun, al-Ghazali dengan tegasnya menggesa supaya ilmu dunia itu hendaklah dihubungkan dengan ilmu akhirat, sesuatu yang amat bertentangan dengan aliran positivism yang menolak hubungan metafizik dengan ilmu sains. Menurut al-Ghazali lagi, agama menjadi tidak sempurna sekiranya tanpa disertakan dengan dunia. Tetapi dalam menjalankan urusan dunia, ilmu agama sangat penting untuk mengawal tingkahlaku dan hawa nafsu manusia.

Orang yang berilmu dalam ertikata sedemikian dapat menjamin pembangunan yang seimbang, adil dan saksama, dan tidak mengakibatkan kebinasaan manusia sendiri dan kepada makhluk-makhluk lain. Sebaliknya apa yang berlaku dalam tradisi keilmuan barat, ilmu dituntut sebagai satu kuasa iaitu untuk mendominasi. Jadi apa yang telah berlaku daripada senario yang dapat kita lihat kini diseluruh dunia ialah kepincangan terhadap sistem keadilan, sosial, muaammalah, politik dan sebagainya yang kesemuanya berteraskan konsep dominasi yang merosakkan, menjadikan manusia semakin tamak haloba dan rakus dalam menjalani kehidupan hariannya. Ianya dapat dilihat dengan pelbagai konsep ilmu yang berteraskan prinsip-prinsip seperti materialisma, kapitalisma, utilitarianisma dan sebagainya seperti yang telah saya terangkan di awal tadi, telah meresapi keseluruhan masyarakat akibat daripada sistem pendidikan moden yang tidak seimbang terutamanya sistem yang diceduk terus dari sistem ala barat.

Sekian.

0 comments:

Post a Comment

 

Universal Scholars Life and Thought Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template